G-Dragon gegar Stadium Nasional
Monday, June 24, 2013 , 0 Comment
Masalah jerebu yang turut melanda ibu kota nampaknya bukan penghalang buat peminat tegar penyanyi terkemuka Korea Selatan, G-Dragon hadir ke konsertnya di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam kelmarin.
Terdahulu, penjualan tiket untuk konsert solo ketua kumpulan BigBang itu sangat laris, namun melihat kepada faktor jerebu, pastinya ada tidak mahu mengambil risiko hadir pada konsert di kawasan tidak berbumbung itu.
Namun, semua itu diketepikan apabila lebih 10,000 peminat menunjukkan betapa setianya mereka kepada penyanyi serba boleh itu.
Yang pasti, kelincahan G-Dragon seakan-akan tidak boleh dihentikan sebaik dia muncul di pentas dengan penuh aksi dramatik berdiri megah di sebuah kereta kaca sambil diiringi sorakan penonton. ![]()
KUASA seorang superstar, G-Dragon memang hebat.
Tampil dengan beberapa persalinan sarat dengan perincian menarik, sesuai dengan jolokan ‘fashionista’ padanya, paling menarik pastinya perjalanan keseluruhan konsert itu yang berwarna-warni serta mengagumkan. Sekalung tahniah buat tenaga produksi konsert terbabit yang nyata begitu teliti dengan persediaan setiap penukaran props walaupun skrin besar LED di pentas menjadi objek fokus utama. Permainan props seperti rama-rama gergasi, aksi wanita terjatuh, duduk di kerusi raja dan membuat terjunan ala ‘flying-fox’, menjadikan malam itu pastinya tidak akan dilupakan peminat tegar G-Dragon di sini. Tidak ketinggalan, beberapa aksi turut membuatkan peminat cemas terutama sewaktu dia melakukan terjunan ‘flying-fox’, dia tersekat di kedudukan yang agak tinggi serta tiba-tiba meloncat dari atas pentas. Apapun, segalanya berjalan lancar dan biarpun dalam keadaan cuaca panas, peminat langsung tidak mengendahkannya serta terus bersorak dan bernyanyi khas buat penyanyi kesayangan mereka itu. Bagai mengubat kerinduan peminat di sini, G-Dragon ternyata gembira dapat kembali semula ke Malaysia selepas tahun lalu hadir bersama rakannya dalam BigBang. Biarpun berdiri solo, namun dia berjaya menghidupkan malam itu dengan nyanyian bertenaganya selain ligat mengelilingi keseluruhan pentas dengan pelbagai aksinya. Yang pasti, jika sebelum ini dia lebih dikenali dengan nyanyian rap dan lagu rancak, malam itu, penonton berpeluang melihat sisi romantiknya tatkala menyanyikan penuh perasaan lagu Missing You. Dengan iringan ‘live band’, dia turut tampil menyanyi lagu duetnya termasuklah lagu Light It Up nyanyiannya dengan Tablo di mana Tablo hanya muncul menerusi skrin saja. Bagaimanapun, kegilaan penonton memuncak apabila lagu popularnya, Crayon berkumandang menyebabkan sesetengah penonton yang duduk pada awalnya terus bangkit berdiri. Menggabungkan lagu berkenaan dengan lagu kegilaan ramai Fantastic Baby nyanyian BigBang, makin ‘panas’ malam itu apabila peminat turut bergoyang menunjukkan tanda betapa lagu itu dekat di hati mereka. Menyemarakkan lagi suasana malam itu, seperti di konsert sebelum ini, rakan sekumpulannya Taeyang pula menawan pentas sebagai artis jemputan dengan mendendangkan dua lagu iaitu Where You At dan Break Down. Malah, dia sempat bergabung tenaga dengan G-Dragon untuk lagu Bad Boy sebelum mengembalikan semula pentas berkenaan kepada G-Dragon. Bijak bermain mata dengan kamera dan mengusik penonton dengan aksi nakalnya, penyanyi terbabit juga sempat berpesan agar peminat akan sentiasa menyokongnya serta BigBang. “Saya takkan melupakan kamu semua dan semoga kamu juga tidak akan melupakan saya. Nantikan kehadiran saya semula tidak lama lagi bersama rakan BigBang yang lain,” katanya sebelum konsert malam itu melabuhkan tirai. Menerusi konsert One Of A Kind Tour yang dibawakan Running Into The Sun itu, antara lagu lain yang turut dinyanyikannya termasuklah One of a Kind, Michigo, Without You, Shine a Light dan Today. Selepas ini, penyanyi itu akan meneruskan kunjungannya pula lokasi terakhir di Singapura.
P/s : Entri ini dicopy 100% di SINI
|